Monday, August 30, 2010

News - Utusan Borneo 22/08/10

KEPIMPINAN BARU: Barisan exco baru FAS (dari kiri) Haidel, Nelson, Abu Bakar, Sudarsono, Razali dan Posa bergambar bersama.

Barisan exco baru ikrar laksana ‘tsunami’ dalam bola sepak Sarawak

KUCHING: Pengerusi Kumpulan Pengurusan Bola Sepak Sarawak (FMG) Sdn Bhd, Datu Sudarsono Osman dipilih sebagai presiden baru Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dalam mesyuarat agung tahunannya di sini petang semalam.

Sudarsono yang merupakan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak memenangi 11 undi, sekali gus mengatasi pencabarnya iaitu Naib Presiden FAS, Paruwadi Muda yang meraih enam undi.

Mesyuarat agung tahunan pemilihan itu turut menyaksikan Setiausaha Agung FAS, Mohamad Abu Bakar Marzuki ‘naik pangkat’ apabila menang tanpa bertanding bagi merebut jawatan timbalan presiden.

Manakala lima orang lagi dipilih oleh ahli-ahli gabungan persatuan bagi menduduki kerusi naib presiden. Mereka ialah Haidel Heli (Samarahan), Nelson Kloni (Betong), Razali Dolhan dan Posa Majais (Kuching) dan Sazali Abdul Rahman (Miri).

Mesyuarat agung tahunan persatuan terbabit berlangsung dalam suasana harmoni dan turut dihadiri oleh bekas presidennya iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Murni Suhaili.

Sudarsono dalam sidang medianya selepas pemilihan itu berkata barisan baru exconya akan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin demi mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri dan tanah air.

“Kami (FAS) berazam melaksanakan ‘tsunami’ dalam bola sepak Sarawak dengan melaksanakan pelbagai program pembangunan bola sepak terutamanya di peringkat akar umbi.

“Kita melihat bola sepak melibatkan permainan dari peringkat kanak-kanak sehingga dewasa di seluruh negeri ini. Justeru, kami akan berusaha untuk meningkatkan mutu bola sepak dari peringkat kampung lagi,” katanya.

Sudarsono yang pernah menduduki kerusi timbalan presiden FAS sebelum ini memberitahu bahawa antara program pembangunan bola sepak yang bakal dilaksanakan nanti termasuklah mengadakan liga tempatan/daerah setiap tahun.

Beliau berkata FAS sedia bekerjasama dengan persatuan-persatuan bola sepak peringkat daerah dan bahagian seluruh negeri ini dalam usaha meningkatkan ‘standard’ bola sepak tempatan.

“Kita akui bahawa pemain-pemain berpotensi dan berkualiti adalah dari peringkat akar umbi, justeru saya yakin dengan pelaksanaan program pembangunan bola sepak secara komprehensif, kita mampu mencapai kejayaan.

“Malah, kita mampu membentuk pasukan bola sepak yang benar-benar mantap bagi mengharungi cabaran di peringkat kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, Paruwadi dalam reaksinya menerima keputusan pemilihan Sudarsono sebagai presiden baru FAS menggantikan Murni.

“Saya terima keputusan itu dengan semangat perjuangan bagi mengangkatkan martabat bola sepak Sarawak. Saya percaya Datu (Sudarsono) mampu meletakkan bola sepak kita di landasan kegemilangan,” katanya.

No comments: